Kuching City FC bakal menghadapi aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa kelibat lima tonggak utama.
Lima tonggak tersebut ialah James Okwuosa, Jerome Mpacko Etame, Ronald Ngah Wanja, Jimmy Raymond dan Rodney Celvin Akwensivie. Perkara ini disahkan jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak.
Isu visa menyebabkan Okwuosa, Etame dan Ngah Wanja tidak dapat menyertai program pramusim Kuching City di Chiangmai, Thailand baru-baru ini.
Hal ini menyebabkan ketiga-tiga pemain tidak berada pada tahap terbaik untuk aksi berkenaan. Jimmy dan Rodney pula terpaksa berehat akibat kecederaan yang dialami semasa bersama kem Harimau Malaya untuk kempen ASEAN Hyundai Cup.
“Saya fikir dari segi persediaan, kita tidak berada pada tahap terbaik. Sedikit gangguan disebabkan beberapa pemain tidak dapat pergi ke Chiangmai sebagai persediaan untuk pramusim kerana masalah visa.
“Saya rasa bukan pada tahap terbaik kerana kita tidak mendapat semua pemain untuk kita persiapkan untuk pramusim kita di Chiangmai. Sudah tentu kita kehilangan lima tonggak utama iaitu James (Okwuosa), Ronald Ngah Wanja, Jerome Etame, Bonai (Rodney Celvin) dan Jimmy juga.
“Inilah lima tonggak utama yang akan tampil dalam kebanyakan perlawanan,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Meskipun begitu, Aidil percaya kehadiran sembilan tonggak baharu untuk kempen musim ini dilihat mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan lima pemain tersebut.
Kuching City akan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 Ogos ini. Aksi ini bukan saja peluang buat The Cats meraih trofi pertama untuk musim 2026/27.
Malah, Kuching City juga dilihat satu-satunya penghalang antara JDT dan rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia iaitu 109 perlawanan.