Jimmy Raymond Alami Kecederaan Berulang
MakanBola
Malaysia National Team

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Jimmy Raymond disahkan mengalami kecederaan berulang yang memaksa beliau berehat antara empat hingga enam minggu.

Pandangan itu dibuat pakar perubatan sukan, Dr. Nik Haziman Wan Hamad apabila diminta mengulas status kecederaan pemain berusia 30 tahun itu.

Sebelum saingan ASEAN Hyundai Cup bermula, Jimmy telah mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan tertutup menentang Timor Leste. Kecederaan itu menyebabkan beliau terlepas aksi awal Kumpulan B menentang Myanmar.

Selepas kembali cergas, Jimmy kemudiannya beraksi untuk perlawanan menentang Laos dan Thailand. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa dikeluarkan pada babak kedua perlawanan di Stadium Rajamangala akibat kecederaan.

Nik Haziman berpandangan tempoh pemulihan yang tidak cukup sedikit sebanyak menyumbang kepada isu kecederaan yang dihadapi Jimmy. Pada masa sama, beliau percaya tempoh pemulihan, usaha fisioterapi dan proses rawatan memastikan kecederaan itu tidak menjadi lebih teruk.

“Jadi untuk keseluruhan dari segi pemulihan, biasanya yang melibatkan kecederaan buku lali dan ligamen, itu akan ambil masa lebih kurang dalam empat ke enam minggu. Maknanya untuk tempoh pemulihan dan juga diikuti dengan kembali kepada sukan, kembali bermain dan berlatih.

“Jadi sebab tu kata kenapa sebelum ini sudah cedera dan berhenti. Beliau tak main untuk perlawanan pertama, perlawanan kedua beliau main cedera balik. Yang itu, pendapat peribadi saya mungkin tempoh pemulihan tak cukup lagi untuk dia. 

“Tapi dengan bantuan rawatan dan juga fisio dan juga sebahagian daripada balutan pelindung, saya percaya boleh menghalang kecederaan itu (daripada jadi) lagi teruk,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Jimmy kini telah mengutip lima penampilan antarabangsa bersama Harimau Malaya. Selain beliau, Harimau Malaya juga terpaksa melupakan khidmat Endrick dos Santos yang berehat akibat kecederaan ligamen medial kolateral (MCL).

Meskipun begitu, jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe memberi bayangan akan menggunakan 23 pemain yang ada untuk baki kempen ASEAN Hyundai Cup.