Tan Cheng Hoe Belum Fikir Pengganti Baharu
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui belum memikirkan pengganti baharu buat dua pemain negara, Endrick dos Santos dan Jimmy Raymond.

Sebelum ini, kem Malaysia mendapat tamparan hebat apabila kehilangan khidmat kedua-dua pemain itu untuk baki kempen ASEAN Hyundai Cup.

Endrick yang kini bersama Star City FC perlu berehat selama beberapa bulan akibat kecederaan ligamen medial kolateral (MCL). Jimmy turut mengalami nasib sama apabila mengalami kecederaan ligamen anterior talofibular (ATFL).

Kecederaan itu memerlukan bek kanan Kuching City FC itu berehat antara empat hingga enam minggu. Cheng Hoe mengakui kehilangan kedua-dua pemain ini memerlukan Malaysia memanggil pemain dalam senarai menunggu sedia ada.

Pada masa sama, beliau faham jika ada pasukan yang enggan melepaskan pemain atas sebab kempen pramusim. Justeru, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan menggunakan 23 pemain sedia ada untuk baki kempen kejohanan.

“Jurulatih masih lagi berbincang tentang pemain mana yang perlu kita diserapkan. Tetapi kita tahu kekangan masa dan juga pasukan-pasukan juga ada latihan pramusim mereka.

“Itu sedikit sebanyak (memberi kesukaran) bagi kita. Memang sukar untuk mengambil mana-mana pemain untuk ganti mereka.

“Tetapi kita harapkan pemain-pemain yang ada ini kekal fokus dan juga kekal tahap kecegasan yang terbaik untuk menghadapi Filipina nanti,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Malaysia kini di tangga ketiga Kumpulan B meskipun berkongsi enam mata dengan Myanmar. Ini kerana anak buah Jorn Andersen memiliki kelebihan jaringan berbanding Malaysia.

Justeru, Harimau Malaya kini perlu memburu kemenangan ke atas Filipina pada 8 Ogos ini jika mahu mengiringi Thailand ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B.