Advertisement
Piala TNB: THT Bermaharajalela Singkirkan Liaoning Men’s HT
UltraSukan
UltraSukan
MHC

THT mudah mara ke separuh akhir selepas menumbangkan wakil China, Liaoning Men’s HT dalam aksi suku akhir kedua Piala TNB 2024.

THT yang cemerlang menundukkan Liaoning 5-2 di aksi pertama yang lalu berjaya membuka tirai hasil pukulan sudut penalti penyerang berbisa, Faizal Saari pada minit kelapan.

Kealpaan barisan pertahanan Liaoning dihukum oleh THT dengan jaringan kedua menerusi Ismail Abu yang menyambut hantaran rakan sepasukan, Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-14.

Faizal Saari yang merupakan tonggak utama THT berjaya menambah luka wakil China itu dengan satu scoope yang cantik menewaskan penjaga gol lawan sebelum Abid Sufian menyumbat gol keempat pasukan.

Separuh masa pertama, Liaoning Men’s HT 0-4 THT.

Pasukan jemputan dari China itu kembali ke separuh masa kedua berbekalkan semangat baharu untuk mencari gol bagi mengurangkan defisit agregat.

Namun benteng pertahanan THT kekal kebal menahan asakan ditambah pula aksi tangkas penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman jelas mengecewakan Liaoning.

THT yang memiliki kelebihan jaringan besar dilihat sudah mula mengendur serangan sehingga tiada jaringan dapat dihasilkan sekaligus mengakhiri perlawanan dengan keputusan Liaoning Men’s HT 0-4 THT.

Keputusan ini menyaksikan kemaraan naib juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 ini ke peringkat separuh akhir Piala TNB dengan keputusan agregat 9-2.

Perlawanan separuh akhir Piala TNB 2024 dijadualkan berlangsung pada 5 Mac hadapan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.