Advertisement
Piala TNB: TNB Berpesta Gol Ke Atas KL City
UltraSukan
UltraSukan
MHC

Skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih kelebihan dalam aksi suku akhir Piala TNB hari ini.

Ini selepas TNB mengalahkan wakil Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 1.

Selepas dibelasah 13-0 oleh TNB dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) sebelum ini, KL City berusaha untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar.

Usaha KL City memastikan gawang mereka tidak dibolosi tidak kesampaian apabila penjaring terbanyak MHL musim ini, Azrai Aizad Abu Kamal membuka jaringan pada minit ke-10.

Jaringan tersebut memberi keyakinan kepada TNB untuk menggandakan asakan ke atas gawang KL City.

Bagaimanapun, TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini perlu menunggu sehingga minit ke-25 untuk menggandakan kelebihan menerusi Wan Haziq Hishamuddin Wan Azmeer Ruzman.

Seminit selepas itu, Azrai Aizad meledakkan gol kedua peribadinya bagi memastikan TNB mendahului 3-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, TNB terus memburu gol tambahan dalam suku ketiga perlawanan. Pemain import Korea Selatan, Jang Jong-hyun meledakkan gol keempat TNB pada minit ke-31 perlawanan.

Norsyafiq Sumantri memastikan kedudukan TNB sukar dicabar KL City dengan meledakkan dua gol pada minit ke-36 dan 37.

KL City terus hilang punca apabila Wan Haziq menyumbat satu lagi gol padang melepasi penjaga gol mereka, Khairul Amirin Mohd Kamarul Azlan pada minit ke-39.

Perlawanan kemudiannya dihentikan seketika apabila hujan semakin lebat di Stadium Hoki Nasional 1. Disebabkan keadaan itu, pengadil memutuskan perlawanan berakhir dengan keputusan 7-0.

Kelebihan agregat 7-0 ini bakal membantu TNB untuk aksi suku akhir kedua Piala TNB yang berlangsung pada 3 Mac ini.