Ads
“Pingat Gangsa Punya Nilai Luar Biasa Buat Saya” – Lee Zii Jia
UltraSukan
Majlis Sukan Negara Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 memiliki nilai yang cukup luar biasa.

Advertisements

Selepas terkandas di pusingan 16 pemain terbaik di temasya Olimpik 2020, bekas juara All England 2021 kembali bangkit untuk edisi 2024.

Advertisements

Zii Jia terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan tiga set ke atas jaguh India, Lakshya Sen dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Advertisements
Advertisements

Kejayaan itu menyaksikan juara Thailand Open 2024 itu mengikut jejak dua legenda perseorangan lelaki negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei sebagai pemenang pingat Olimpik.

Zii Jia mengakui perjalanan untuk menjadi pemenang pingat cukup berliku bermula dari edisi Tokyo 2020. Dan beliau cukup bertuah kerana memiliki sokongan TeamLZJ termasuk jurulatih, Wong Tat Meng.

Advertisements

Sokongan yang diberi mereka membantu Zii Jia berjaya menghadapi jatuh bangun sebagai pemain profesional sejak tahun 2022.

“Selepas Olimpik sulung saya di Tokyo 2020, saya sama sekali tidak menyangka laluan berliku yang bakal saya tempuh.

“Mujur dalam impian saya bergerak sebagai profesional saya memiliki sebuah pasukan dalam bentuk TeamLZJ yang cukup komited. Kerana mereka, saya memiliki kekuatan menghadapi jatuh bangun sejak menjadi professional pada 2022,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Zii Jia berterima kasih kepada ramai pihak seperti pihak penaja, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana membantu merealisasikan impiannya.

Juara Australian Open 2024 itu turut menghargai sokongan peminat terutama dari Malaysia yang tidak putus memberi kata semangat sepanjang kejohanan. Kini, fokusnya ialah merealisasikan impian meraih pingat emas pertama negara di pentas Olimpik.

“Iltizam saya adalah untuk memastikan impian pingat emas Olimpik sulung Malaysia jadi realiti, saya akan terus bekerja keras berbekalkan doa dan sokongan anda semua,” ujarnya.

Advertisements

Selepas ini, Zii Jia bakal meneruskan persaingan memburu kejuaraan jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan menyertai Japan Open 2024. Kejohanan itu bakal berlangsung dari 20 hingga 25 Ogos ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram