Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan siasatan rapi terhadap kes simbah asid bintang Selangor FC, Faisal Halim.
Nama pemain sayap kebangsaan itu menjadi bualan ramai pihak apabila disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di Lembah Klang pada awal Mei lalu.
Situasi itu menyebabkan Faisal terpaksa melalui empat pembedahan di sebuah hospital swasta di Lembah Klang untuk membantu proses pemulihannya.
Dalam sidang media khas yang diadakan baru-baru ini, beliau mengakui bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya disebabkan insiden tersebut. Faisal turut berharap pelaku jenayah tersebut dapat ditahan dan diheret ke muka pengadilan.
Insiden malang yang menimpa pemain sayap berusia 26 tahun itu turut menarik perhatian Anwar. Ini kerana seperti orang lain, beliau juga ingin tahu apa motif yang mendorong pelaku melakukan perkara sebegitu rupa kepada Faisal.
Selain kes bekas bintang Terengganu FC itu, Anwar berharap siasatan sama turut digerakkan untuk kes kematian kanak-kanak berstatus orang kelainan upaya (OKU), Zayn Rayyan Abdul Matiin.
“Sekarang riuh rendah mengenai kes penderaan pemain bola sepak, pembunuhan seorang kanak-kanak OKU. Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia.
“Saya hendak tahu mengapa sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak,” katanya semasa berucap di Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam hari ini.
Atas sebab itu, Anwar turut mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkenaan isu tersebut.
“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang dan menghukum terus kata kita melindungi. Apa yang melindungi?
“Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan. Kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman), saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini. Tetapi saya kata cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya kata,” ujarnya.
Faisal kini menjalani proses pemulihan di satu lokasi yang dirahsiakan pengurusan Selangor atas faktor privasi dan keselamatan.
Beliau berharap dengan kadar pemulihan pantas yang dilaluinya, beliau berharap dapat kembali beraksi dalam tempoh sebulan.