Salah sebuah Portal Arab mula meramal masa depan perjalanan tonggak muda JDT, Arif Aiman Hanapi.
Pemain berusia 23 tahun itu mula menjadi bualan hangat di Iran selepas laman Perspolis_507 mengaitkan perpindahan pemain itu ke sana.
Berita ini dikukuhkan lagi selepas laman data terkemuka dunia, Transfermarkt turut meletakkan setinggi 73 peratus kemungkinan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu bakal ke Persepolis.
Salah sebuah portal terkemuka di Timur Tengah iaitu Bartarinha.Ir berjaya mengesan bahawa jurulatih dan pasukan analisis Persepolis telah mengikuti Arif di media sosial sebelum ini.
Hal ini menguatkan lagi langkah pemain muda negara ini yang kini mula meraih perhatian kelab luar negara susulan persembahan cemerlang dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE) bersama JDT.
Beliau juga merupakan salah satu nama yang dicadang untuk menggantikan pemain berpengalaman Persepolis, Saeid Sedaghi yang bakal tamat kontrak pada bulan Mei 2025.
Menurut laman Transfermarkt, Arif Aiman dinilai pada tanda harga 600,000 Euro (RM2.8 Juta) dan merupakan pemain tempatan Malaysia paling bernilai.
Beliau juga merekodkan 7 jaringan dan 7 bantuan jaringan dalam 13 penampilan Liga Super musim ini namun tiada sebarang pengesahan rasmi berkenaan perpindahan beliau ke Iran.