Advertisements
Portugal Jadikan Poland Mangsa Belasahan
Eropah
MakanBola
UEFA

Portugal mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA (UNL) dengan membelasah Poland 5-1.

A Selecao berharap dapat mengesahkan kelayakan ke suku akhir UNL dengan satu lagi kemenangan. Manakala Orly pula mahu merampas kedudukan kedua Kumpulan A daripada Croatia sekiranya berjaya menewaskan Portugal.

Pengendali Portugal, Roberto Martinez menurunkan skuad terkuat diketuai Cristiano Ronaldo meskipun berdepan krisis kecederaan. Manakala Mateusz Bogusz menjadi sandaran gol Poland selepas Robert Lewandowski terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Separuh masa pertama menyaksikan Portugal berusaha menembusi gawang Poland menerusi Ronaldo, Rafael Leao, Bruno Fernandes dan Pedro Neto.

Ini memaksa penjaga gol Nice, Marcin Bulka yang mengawal gawang pelawat terpaksa bekerja keras menafikan setiap ancaman yang digerakkan tuan rumah.

Orly kemudiannya terpaksa melakukan pertukaran pemain awal pada minit ke-32 dengan memasukkan Jakub Kaminski. Ini selepas Bartosz Bereszynski terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Pertahanan mantap yang dipamerkan Poland memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, A Selecao terus menggandakan asakan untuk mendapatkan jaringan yang dikehendaki mereka.

Penyerang A.C Milan, Rafael Leao menceriakan penyokong di Estadio do Dragao dengan meledakkan gol pertama Portugal pada minit ke-59.

Poland terus ditimpa malang apabila pengadil Lithuania, Donatas Rumsas menganugerahkan sepakan penalti kepada tuan rumah. Penalti tersebut mudah disempurnakan Ronaldo pada minit ke-72.

Kapten Manchester United, Bruno Fernandes meneruskan prestasi baiknya di pentas antarabangsa dengan meledakkan gol cantik pada minit ke-80.

Ronaldo kemudiannya menjadi pencipta gol dengan mencipta hantaran yang mudah disempurnakan Neto tiga minit selepas itu.

Legenda The Red Devils itu terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Orly dengan meledakkan gol kelima A Selecao pada minit ke-87.

Pemain gantian, Dominik Marczuk menjaringkan gol saguhati buat Poland seminit selepas itu. Walau bagaimanapun, itu sudah terlewat untuk menghalang keraian kemenangan Portugal.

Kejayaan ini menyaksikan A Selecao layak ke peringkat suku akhir UNL selaku juara Kumpulan A. Sementara perebutan slot naib juara kumpulan masih terbuka selepas Croatia tewas mengejut kepada Scotland dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Sumbangan Ronaldo kepada Portugal diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.6, 0.1 mata di hadapan Neto dan Vitinha.

Selepas ini, Portugal bakal bertandang ke Zagreb untuk menentang Croatia pada awal pagi 19 November. Manakala Poland pula menerima kunjungan Scotland pada hari yang sama.