Portugal memastikan Amerika Syarikat (US) menamatkan kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan negatif apabila menewaskan pasukan itu di Stadium Mercedes-Benz.
US yang juga tuan rumah Piala Dunia 2026 mahu bangkit selepas dibelasah Belgium 5-2 dalam aksi persahabatan sebelumnya.
Aksi ini juga dilihat medan balas dendam buat Portugal. Ini kerana pasukan itu tersingkir dalam saingan Piala Dunia 2014 di tangan negara Uncle Sam itu.
Bekas bintang Chelsea, Christian Pulisic mengetuai cabaran US. Kapten Manchester United, Bruno Fernandes terus menjadi nadi kreatif Portugal.
Sebaik perlawanan bermula, US berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Pulisic, Timothy Weah dan Malik Tillman.
Situasi ini mendorong barisan pertahanan Portugal diketuai Goncalo Inacio bekerja keras menyerap asakan yang dibawa trio berkenaan.
Portugal akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Francisco Trincao pada minit ke-37. Trincao tenang menyudahkan hantaran Fernandes yang menewaskan penjaga gol US, Matthew Freese.
US berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih US, Mauricio Pochettino memasukkan Patrick Agmeyang dan Maximilian Arfsten untuk memburu gol penyamaan.
Malangnya, usaha pasukan tuan rumah masih gagal membuahkan hasil. Sebaliknya, Portugal menggandakan kelebihan mereka menerusi Joao Felix pada minit ke-59.
Bola sepakan sudut yang diambil Fernandes sampai di kaki pemain perancang Al-Nassr itu. Felix kemudiannya melepaskan rembatan deras yang menewaskan Freese.
US terus memberi tekanan kepada Portugal untuk mengurangkan defisit gol tetapi tidak berhasil. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini bukan saja kemenangan pertama Portugal untuk tahun 2026. Malah, ini juga kemenangan pertama Portugal sejak membelasah Armenia 9-1 pada November lalu.
Meskipun masuk sebagai pemain gantian, Felix dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat 7.8 mata, 0.2 mata di hadapan Trincao dan Tomas Araujo.