Potensi untuk melihat pertarungan wakil tunggal Malaysia, Johor Darul Ta’zim – JDT vs Al-Hilal menjadi kenyataan semakin hampir.
Skuad kendalian Xisco Munoz cemerlang merekodkan sejarah baharu buat JDT selepas berjaya membawa pasukan mara ke peringkat suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) menewaskan wakil Jepun, Sanfreece Hiroshima dengan keputusan 3-2 secara agregat.
Keputusan itu menyaksikan JDT mencipta sejarah untuk mara ke pentas suku akhir buat kali pertama di ACLE, sekali gus berpeluang untuk bertemu dengan pasukan dari Timur Tengah.
Juara bertahan Liga Super itu berpotensi untuk bertemu dengan pasukan-pasukan handalan di dunia termasuklah juara bertahan Saudi Pro League, Al-Hilal.
Al-Hilal kendalian Simone Inzaghi menamatkan saingan peringkat kumpulan ACLE Zon Asia Barat selaku juara kumpulan dengan 22 mata tanpa sebarang kekalahan daripada lapan aksi.
Mereka kini diundi bertemu Al-Sadd dari Qatar bagi aksi Pusingan 16 namun ditangguhkan susulan konflik Geopolitik di Timur Tengah ketika ini.
Sekiranya menang, Al-Hilal berpotensi besar untuk JDT tatkala empat wakil dari zon Asia Barat bakal diundi bertemu empat pasukan zon Asia Timur.
Rekod menyaksikan Al-Hilal merupakan semi finalis ACLE 2024-25 selain dibarisi barisan bintang ternama dunia dalam skuad semasa iaitu penjaga gol, Bono, pertahanan seperti Theo Hernandez, Kalidou Koulibaly dan Pablo Mari.
Jentera tengah dan serangan pasukan menyaksikan beberapa nama seperti Salem Al Dawsari, Sergej Milinkovic, Ruben Neves, Karim Benzema, Malcom dan Darwin Nunez.
Terdapat juga potensi untuk melihat aksi suku akhir pentas tertinggi bola sepak Asia ini berlangsung di Malaysia.
“Jeddah atau Malaysia, difahamkan AFC ada venue alternatif andai pusingan akhir ACL Elite tidak dapat diadakan di King Abdullah Stadium dan Prince Abdullah Al Faisal Stadium dari 16 hingga 25 April ini susulan ketegangan di Asia Barat, tatkala undian akan berlangsung 25 Mac ini,” ujar laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.