ACLE: “Paling Penting JDT Cipta Sejarah” – Xisco Munoz
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kejayaan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) sebagai satu detik bersejarah buat pasukan itu.

Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas kepentingan pencapaian itu kepada JDT di pentas Asia.

Munoz menyifatkan pencapaian JDT ini bukan saja satu detik bersejarah buat JDT dan bola sepak Malaysia.

Malah, ia juga merealisasikan matlamat jangka panjang DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk melihat pasukan itu mara lebih jauh dalam kejohanan tersebut.

“Perkara paling penting pada akhirnya, kita mencipta sejarah. Sebuah kelab dari Malaysia yang layak ke (suku akhir) ACLE. Saya lihat ia sesuatu yang positif.

“Sudah tentu kita perlu perbaiki banyak perkara. Tetapi pertama sekali, saya rasa gembira untuk bos (Tunku Ismail) kerana ini satu projek besar untuk jangka masa yang lama.

“Dan hari ini, baginda menunjukkan kepada semua orang bahawa pasukan ini berada di peringkat tertinggi.

“Dan kedua, (penghargaan) buat para pemain kerana mereka berikan segala-galanya. Bukan saja para pemain tetapi juga para staf (kejurulatihan),” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

JDT antara empat pasukan belah Timur yang berjaya layak ke suku akhir ACLE. Selain JDT, Buriram United, Machida Zelvia dan Vissel Kobe turut layak.

Meskipun tewas 1-0 kepada Sanfrecce Hiroshima menerusi penalti Kosuke Kinoshita, JDT tetap layak dengan kemenangan agregat 3-2.