Kelab Liga Malaysia berpeluang untuk menyambar tiga bintang skuad Vietnam bagi merancakkan saingan musim 2026-27.
Pasukan bimbingan Kim Sang-sik secara rasminya berjaya mengekalkan mahkota kejuaraan ASEAN Hyundai Cup 2026 selepas menundukkan Thailand.
Keputusan seri 2-2 di laman sendiri itu menyaksikan skuad Bintang Pahlawan Emas menang dengan agregat 4-2 susulan kelebihan dua jaringan yang dibawa dari Rajamangala pada aksi final pertama.
Prestasi cemerlang beberapa pemain utama Vietnam pada kejohanan kali ini sudah pasti membuka mata kelab gergasi Liga Malaysia dalam usaha membawa masuk pemain pada jendela perpindahan kedua pada 5 Januari hingga 1 Februari 2027.
Pemain ketiga yang berpotensi menjadi tarikan kelab di Liga Malaysia ialah tonggak naturalisasi Vietnam, Hêndrio atau dikenali sebagai Do Hoang Hen.
Berusia 32 tahun, tonggak kelahiran Brazil ini menikmati kempen yang baik selepas beraksi enam perlawandan dan mencipta tiga penglibatan jaringan keseluruhan selaku pemain tengah.
Tonggak kedua yang berpotensi mewarnai kancah Liga Super ialah peledak prolifik Vietnam, Nguyen Dinh Bac.
Pemain muda berusia 22 tahun ini merupakan sandaran utama pada posisi serangan selain berjaya muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lima jaringan.
Pemain paling dinantikan untuk membuat kemunculan di Liga Malaysia ialah Rafaelson atau lebih dikenali sebagai Nguyen Xuan Son.
Penyerang naturalisasi berusia 29 tahun itu merekodkan lima jaringan dan menerima penilaian tertinggi iaitu 7.4 mata pada kejohanan kali ini.
Saingan Liga Malaysia menduduki tangga kedua terbaik di Asia Tenggara berdasarkan kedudukan Footy Rankings selain berada di tangga ke-10 di Asia sekali gus berpotensi menarik minat pemain pemain handalan untuk datang beraksi.