Potensi Trio Baharu Harimau Malaya Turun Lawan Indonesia
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia berpeluang untuk menampilkan trio pemain baharu berdepan Indonesia, September ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe cemerlang menamatkan kempen ASEAN Hyundai Cup 2026 pada peringkat separuh akhir, namun tunduk kepada jaguh Asia Tenggara, Vietnam.

Harimau Malaya bakal meneruskan perjuangan ke satu lagi pentas iaitu kempen FIFA ASEAN Cup 2026 di Indonesia bermula 24 September ini.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan A, Divisyen 1 saingan tersebut sekali gus bakal menentang Bangladesh, Indonesia selaku tuan rumah dan juga Singapura.

Tatkala jadual saingan berada dalam kalendar FIFA, Harimau Malaya dijangka menampilkan barisan terbaik dengan potensi trio baharu skuad kebangsaan tampil bertemu Sang Garuda.

Berdasarkan laporan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, antara tonggak yang berpotensi mendapat ‘lampu hijau’ selepas didaftarkan selaku pemain tempatan ialah duo pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry dan juga Brad Tapp.

Lowry kini bakal menjadi pemain naturalisasi baharu negara manakala Brad Tapp merupakan pemain warisan – hasil susur galur keluarganya yang berketurunan Malaysia.

Seorang lagi pemain yang berpeluang tampil ialah penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva terutamanya pada aksi getir bertemu Indonesia.

“Saya teruja untuk menyarung jersi Harimau Malaya,” ujar Bergson kepada Zulhelmi dalam satu temu bual.

Malaysia bakal membuka tirai saingan menentang Bangladesh pada 25 September disusuli aksi bertemu Indonesia (28 September) dan juga Singapura pada 1 Oktober 2026.