Potter Gembira Chelsea Semakin Bagus

Graham Potter Chelsea Potter Gembira Chelsea Semakin Bagus
Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images
Muhammad Aiman @aiman2309
11:32am 12/02/2023

Walaupun hanya mencatat satu kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir yang diharungi, pengurus Chelsea, Graham Potter tidak melatah dengan prestasi semasa pasukannya sebaliknya melihat dari sudut positif.

Keputusan seri menentang West Ham adalah yang ketiga berturut-turut buat The Blues yang berbelanja mewah di pasaran perpindahan Januari lalu, menyaksikan mereka kekal berada di pertengahan liga selepas separuh musim berlalu.

Potter menegaskan dia tidak melihat kepada soal prestasi semata-mata, namun kepada aspek peralihan yang sedang berlaku dalam sebuah pasukan dengan timbunan pemain baru.

“Ramai kecewa jika kami tidak menang, saya faham perkara itu kerana saya juga ada perasaan sama tetapi sebagai pengurus saya tidak boleh bercakap mengenai aspek prestasi semasa semata-mata.

“Lihat kepada potensi pasukan, lihat bagaimana proses menjadi lebih baik sedang berlaku. Malahan, jika dinilai dari sudut prestasi sekalipun saya berpendapat kita bermain lebih baik dari minggu ke minggu. Pemain-pemain baru sedang sesuaikan diri, ia tidak boleh berlaku sekelip mata.

“Begitulah keadaannya, dan itulah cara saya melihatnya. Saya hanya akan jujur ​​untuk mengatakan bagaimana keadaannya. Saya rasa ia satu cabaran untuk mengendalikan situasi sebegini tetapi ia adalah tugas saya.

“Ia menarik dan menguji anda kerana perlu memastikan anda berkomunikasi dengan betul dan menguruskan persekitaran kerana jika tidak, ia boleh menjadi sesuatu yang negatif,” kata Potter.

Chelsea membuat lapan pembelian pada Januari, termasuklah mendapatkan khidmat Mikhail Mudryk, Enzo Fernandez dengan rekod perpindahan British dan Joao Felix secara pinjaman.