Pra-Musim: Kedah Kalahkan Skuad Muda Terengganu
Persahabatan
KDA FC
Advertisements

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuka kempen Agarbomb Performance Cup 2024 dengan bergaya apabila menewaskan Terengganu FC II hari ini.

Perlawanan hari ini membantu kedua-dua pasukan tampil lebih mantap apabila saingan musim 2024/25 membuka tirainya pada bulan hadapan.

Perlawanan hari ini turut menemukan semula dua rakan lama iaitu jurulatih Terengganu II, Hairuddin Omar dan Nafuzi Zain (Kedah). Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada skuad Peteh yang menjulang Piala Malaysia edisi 2001.

Advertisements

Separuh masa pertama menyaksikan Sang Kenari mendominasi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Meskipun tidak menurunkan pemain import, anak buah Nafuzi berusaha memberi tekanan ke atas kubu pertahanan tuan rumah diketuai Firdaus Hasnoddin.

Gol yang dicari Kedah muncul pada minit ke-17 menerusi Fayadh Zulkifli yang menewaskan penjaga gol Nazul Izamil.

Advertisements

Tersentak, tuan rumah yang diperkuat penyerang Nigeria, Nnabuike Chijioke berusaha menembusi gawang pelawat yang dikawal Mohd Fikri Che Soh.

Walau bagaimanapun, barisan pertahanan Sang Kenari diketuai Irfan Zakaria memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran untuk memberi peluang kepada pemain lain beraksi.

Advertisements

Anak buah Hairuddin terus merencana serangan bagi mendapatkan gol penyamaan tetapi usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan Kedah.

Kedah juga memiliki beberapa peluang untuk menggandakan kelebihan mereka tetapi serangan yang diusahakan tidak berhasil.

Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Selepas ini, Sang Kenari bakal berhadapan skuad senior Terengganu pada 19 April. Manakala Terengganu II pula akan turun menentang Penang FC pada hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram