Kuching City FC bangkit daripada kekalahan di tangan KL City FC dalam aksi pertama Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) apabila menewaskan kelab Singapura, Hougang United.
Selepas kedua-dua pasukan masing-masing tewas kepada KL City dan Sabah FC, The Cats dan The Cheetah berazam memburu kemenangan.
Kuching City menurunkan bekas penyerang KL City, Tchetche Kipre untuk mengetuai jentera serangan. Sementara Hougang pula diketuai bek tengah Serbia, Ensar Bruncevic.
Babak pertama menyaksikan pasukan yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu tampil garang memburu gol awal.
Situasi ini mendorong barisan pertahanan The Cheetah diketuai Bruncevic bekerja keras menyerap asakan tuan rumah.
Hougang juga memiliki beberapa peluang menjaringkan gol tetapi usaha mereka dipatahkan barisan pertahanan The Cats diketuai James Okwuosa.
Kuching City terus memberi tekanan kepada pasukan Singapore Premier League (SPL) itu tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak membuat beberapa pertukaran untuk memecah kebuntuan.
Hasilnya, gol yang dicari-cari pasukan itu diraih pada minit ke-52 menerusi Kipre yang menewaskan penjaga gol muda Hougang, Isaac Lee.
Tersentak, jurulatih The Cheetah, Marko Kraljevic membuat beberapa pertukaran untuk membantu pasukan itu memburu gol penyamaan.
Malangnya, gol yang dicari pasukan SPL itu tidak muncul dengan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Kuching City kekal di tangga ketiga carta SMJ Cup dengan tiga mata. Kedudukan pasukan dijangka berubah apabila KL City dan Sabah bertemu pada malam ini.
Selepas ini, Hougang bakal menentang The City Boys pada 3 Mei. Sementara skuad Badak dan The Cats pula akan bertemu pada hari yang sama.