Liverpool dimalukan Leeds United apabila tewas 2-4 dalam aksi pramusim selepas mensia-siakan kelebihan dua gol yang dimiliki di Stadium Chicago, Amerika Syarikat.
Dominic Calvert-Lewin muncul wira kebangkitan Leeds United apabila meledak dua gol bagi skuad kendalian Daniel Farke meraih kemenangan dalam siri jelajah perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat.
Liverpool mengambil pendekatan berbeza apabila Andoni Iraola memilih untuk menguji pemain muda dalam kesebelasan utama, termasuk Rio Ngumoha, namun masih mengekalkan beberapa tonggak senior seperti Dominik Szoboszlai bagi mengimbangi pengalaman dan tenaga muda.
Leeds United pula hadir dengan misi lebih serius apabila Daniel Farke menurunkan barisan terkuatnya yang dibarisi pemain berprofil tinggi seperti Ao Tanaka, yang baru beraksi di Piala Dunia, serta Daniel James untuk menguji kekuatan Liverpool.
The Reds bermula cemerlang apabila Luke Chambers meletakkan pasukannya di depan seawal minit ketujuh sebelum Florian Wirtz menggandakan kelebihan pada minit ke-40 untuk menghadiahkan Liverpool pendahuluan 2-0 menjelang waktu rehat.
Bagaimanapun, Leeds mempamerkan kebangkitan luar biasa sebaik babak kedua bersambung dengan beberapa pertukaran menberi impak segera. Brenden Aaronson merapatkan jurang pada minit ke-60 sebelum Dominic Calvert-Lewin menyamakan kedudukan pada minit ke-71.
Hanya dua minit kemudian, Sean Longstaff meledak gol ketiga Leeds untuk melengkapkan kebangkitan pelawat. Calvert-Lewin kemudian menambah jaringan peribadi keduanya pada minit ke-85 sekali gus memastikan Leeds meraih kemenangan bergaya 4-2.
Selepas kemenangan ini, Leeds United dijadualkan bertemu RB Leipzig dalam aksi pramusim seterusnya pada 8 Ogos, sementara Liverpool pula akan menguji kekuatan menentang Monaco pada 9 Ogos.