Pra-Musim: Liverpool Cemas Sebelum Tewaskan Wrexham
MakanBola
Wrexham AFC

Liverpool dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Wrexham dalam perlawanan pramusim di Stadium Yankee, New York.

Amerika Syarikat (US) menjadi negara pilihan buat kedua-dua pasukan menjalani pramusim bagi menghadapi musim 2026/27. Aksi ini juga dilihat membakar semangat Wrexham yang memiliki aspirasi untuk layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim berikutnya.

Lewis Koumas menjadi pilihan Andoni Iraola untuk mengetuai jentera serangan Liverpool. Penjaga gol Wrexham, Danny Ward beraksi menentang pasukan lamanya selepas mewakili The Reds dari 2012 hingga 2018.

Sebaik perlawanan bermula, Liverpool berusaha mencari gol awal mneerusi Koumas, Harvey Elliott, Joshua Abe dan Calum Scanlon.

Malangnya, kekentalan benteng Wrexham diketuai Dan Scarr kerap menghampakan The Reds yang diketuai pemain tengah Hungary, Dominik Szoboszlai.

Peluang terbaik Liverpool hadir pada minit ketiga menerusi Abe. Pemain sayap muda itu pantas menerima hantaran Szoboszlai tetapi berjaya dinafikan Ward.

Liverpool menyangka mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti apabila Koumas dijatuhkan dalam kotak penalti. Walau bagaimanapun, bantahan mereka tidak dilayan pengadil, Lorenzo Hernandez.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Iraola membuat empat pertukaran. Antara pemain yang dimasukkan ialah Rio Ngumoha, Curtis Jones dan Kostas Tsimikas.

Meskipun Wrexham juga membuat beberapa pertukaran pemain, Liverpool terus buntu mencipta peluang jaringan. Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan seri, Ngumoha menceriakan kem The Reds dengan gol pada minit ke-75.

Lewis Brunt hampir memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Malangnya, tandukan bekas pemain Leicester City hanya melepasi palang gol.

Wrexham berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Sofascore memilih Ward sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8.