Pra-Musim: Sabah Belasah Keningau
MakanBola
Sabah FC

Sabah FC meneruskan persediaan pramusim dengan membelasah Keningau FA 5-0 dalam aksi persahabatan yang diadakan di Kompleks Sukan Keningau.

Perlawanan ini bukan saja menjadi medan pemanas badan buat anak buah Juan Torres Garrido. Malah, aksi ini juga dilihat medan buat Sabah mengeratkan hubungan dengan penyokong.

Garrido menggunakan peluang ini dengan memberi peluang kepada beberapa pemain baharu beraksi dalam kesebelasan utama. Antaranya penjaga gol, Juan Flere, Gonzalo Di Renzo dan pemain Korea Selatan, Park Jung-bin.

Di Renzo membuka tirai jaringan pada minit ke-32. Tujuh minit kemudian, giliran Fakrul Iman Naszari mencetak nama sebagai penjaring.

Penyerang kebangsaan, Darren Lok meledakkan gol ketiga pada minit ke-48. Jung-bin melengkapkan kemenangan The Rhinos dengan meledakkan dua gol pada minit ke-70 dan 74.

Meskipun ini hanya aksi pemanas badan, sebarang kelemahan yang dikenal pasti Garrido dijangka akan ditambah baik sebelum saingan Liga Super bermula

Sabah bakal membuka kempen liga menentang Star City FC pada 23 Ogos ini.