Kempen Piala Sabah Maju Jaya hari ini telah melibatkan pertembungan antara pasukan Sabah dan KL CIty. Kejohanan empat penjuru yang berlangsung di Stadium Likas itu berakhir dengan keputusan seri.
KL City dibawah kendalian pengendali baharu, Miroslav Kuljanac meletakkan Zhafri Yahya dan Paulo Josue untuk mengemudi barisan serangan sementara kekal mempertaruhkan Azri Ghani sebagai penjaga gawang.
Sabah pula dilihat melakukan beberapa pertukaran pemain berbanding kesebelasan utama ketika menang menentang Hougang United dalam aksi pertama tempoh hari.
Telmo Castanheira dan Darren Lok di posisi menyerang dan Khairul Fahmi Che Mat diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai penjaga gol pada malam ini.
Aksi di separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-0. Kedua-dua pasukan gagal mencatat sebarang jaringan meskipun beberapa percubaan daripada barisan penyerang berjaya dihasilkan.
Sinopsis sama terjadi di babak kedua permainan, Sabah yang dilihat lebih banyak memiliki peluang menjaringkan gol terpaksa akur apabila beberapa kali digagalkan menerusi kecekapan penjaga gol KL City, Azri Ghani.
Sehingga ke wisel penamat, kedua-dua pasukan masih gagal menjaringkan gol meskipun ada ancaman dihalakan ke kubu lawan. Perlawanan keempat Piala Sabah Maju Jaya ini berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, Sabah 0-0 KL City.
“Bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu KL merupakan pasukan yang cukup baik. Kita mempunyai beberapa pertukaran, penting untuk para pemain mendapat minit permainan.”
“Secara kesuluruhan kita bermain agak baik namun penyudahnya tumpul dimana kita mempunyai peluang yang begitu banyak. Jadi kita akan bangkit berdepan pasukan Kuching City nanti,” ujar Ong Kim Swee selepas keputusan seri dicatat pasukan kendaliannya.
Sabah bakal berdepan Kuching City pada Jumaat, 3 Mei 2024 sementara KL City pula akan menentang Hougang United. Aksi final Piala Sabah Maju Jaya akan berlangsung di Stadium Likas pada Ahad, 5 Mei 2024.