Selangor FC meneruskan langkah positif dalam aksi pra musim apabila berjaya menundukkan Perak FC dalam aksi persahabatan di Stadium Negeri Perak, Ipoh sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Selangor menggunakan khidmat trio serangan berbisa iaitu Faisal Halim, Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez.
Untuk 10 minit pertama, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dengan peluang keemasan Perak hadir pada minit ke-6 melalui Luka Milunovic namun tiang menjadi penghalang.
Hasil serangan bertali arus, Perak akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-31 hasil jaringan Wan Zack Haikal yang telah memperdaya beberapa pemain pertahanan Selangor sebelum meledak jaringan buat Perak. Perak dihadapan 1-0.
Selang 5 minit selepas itu, Ronnie hampir menjaringkan gol penyamaan namun rembatannya terkena tiang dan melantun keluar.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor tampil dengan corak menyerang dan hanya tiga minit masa diperlukan untuk Selangor mendapat jaringan penyamaan. Kali ini melalui penyudah Alvin Fortes yang menyambar lorongan menarik dari Faisal Halim. Kedudukan kini terikat 1-1.
Pada minit ke-53, Selangor menambah derita Perak hasil penyudah menarik daripada Faisal Halim yang sama sekali menewaskan penjaga gol Perak, Ramadhan Hamid.
Selangor meneruskan tekanan kepada Perak biarpun mendahului 2-1.
Yohandry Orozco pula mencipta nama sebagai penjaring selepas meledak pada minit ke-77 melalui penyuduh hasil satu serangan balas pantas.
Kedudukan 3-1 itu hanya bertahan lima minit selepas Perak berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-2 melalui penyudah penyerang import dari Perak, Lim Tae-min.
Perak menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan dan perlawanan tamat dengan keputusan 3-2 memihak Selangor.
Selepas ini, Selangor akan melayani kunjungan tiga kelab Asia Tenggara, iaitu DPMM FC dari Brunei, Balestier Khalsa FC dari Singapura dan Young Elephants FC dari Laos bagi saingan Piala Cabaran Asia 2024.