Selangor FC bakal berdepan Ratchaburi buat kali kedua untuk program pramusim 2026/27.
Ini selepas kelab Thai League 1 itu mengumumkan senarai lawan yang akan dihadapi untuk pramusim sebelum saingan domestik bermula.
Anak buah Worrawoot Srimaka bakal berdepan anak buah Kim Pan-gon dalam aksi kedua pramusim pada 28 Julai ini. Pengumuman ini turut mendedahkan Selangor bakal menjalani pramusim di bumi Thailand.
Thailand kerap menjadi destinasi pramusim Merah Kuning termasuk pada musim 2023, 2024/25 dan 2025/26. Pramusim pada tahun lalu menyaksikan Selangor mengatur lima aksi termasuk menentang Ratchaburi dan Chonburi FC.
Aksi pramusim lalu menyaksikan Merah Kuning yang ketika itu dibimbing jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi tewas 1-0 kepada The Dragons.
Pertemuan ini juga dijangka menemukan Selangor dengan beberapa pemain Ratchaburi yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M). Antaranya pemain pertahanan kebangsaan, Daniel Ting dan bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Roque Mesa.
Selain Selangor, Ratchaburi juga dijadual bertemu dua kelab Hong Kong, Kitchee dan Eastern SC. The Dragons akan menentang kedua-dua pasukan itu pada 31 Julai dan 5 Ogos ini.