Sri Pahang terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Kelantan Darul Naim dalam aksi pra-musim di Kota Bharu pada Rabu.
Aksi persahabatan ini juga merupakan perlawanan ujian Video Bantuan Pengadil (VAR) yang akan digunapakai dalam saingan Liga Malaysia apabila liga membuka tirai kurang dari dua minggu dari sekarang.
Kelantan turun dengan jersi baharu serba merah dengan barisan pemain terbaik yang diketuai pemain tengah Palestine, Oday Kharoub manakala Sri Pahang turut menampilkan kesebelasan terbaik dengan kepulangan pemain sayap, Manuel Hidalgo ke dalam pasukan.
Kedua-dua pasukan tampil dengan aksi berbalas serangan terutamanya peluang Sri Pahang yang dimiliki oleh Kpah Sherman dan Mykola Ahapov jelas mengecewakan penyokong skuad Tok Gajah.
Jentera serangan Kelantan Darul Naim yang ditunjangi oleh duo import, Valdu Te dan Chadrack Muzungu turut tampil bertenaga dengan beberapa gerakan menarik yang gagal disempurnakan.
Kebuntuan jaringan perlawanan akhirnya terlerai setelah Stefano Brundo pantas menyambar hantaran Manuel Hidalgo untuk meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-40.
Ketika permainan menuju rehat, Sri Pahang terpaksa bermain dengan 10 orang pemain setelah VAR menilai terjahan oleh Manuel Hidalgo sebagai merbahayakan menyebabkan beliau dilayangkan kad merah.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak pelawat.
Bersambung babak kedua, Kelantan Darul Naim tampil dengan permainan lebih kemas dan teratur bagi mengatur serangan ke kubu gol Sri Pahang yang mempertaruhkan gandingan Adam Nor Azlin dan Aleksandar Cvetkovic di benteng pertahanan.
Tuan rumah memperoleh peluang keemasan bagi mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-81, namun tendangan Valdu Te mudah ditepis keluar oleh penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan.
Kelantan yang terdesak terus melancarkan beberapa siri serangan namun tiada jaringan penyamaan dapat dihasilkan oleh anak-anak buah Park Jae-hong sehingga tamat permainan.
Perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV tamat dengan keputusan 1-0 memihak Sri Pahang.
Selepas ini, Sri Pahang akan berdepan satu lagi jaguh Pantai Timur, Terengganu di Temerloh pada 28 April manakala Kelantan Darul Naim bakal bertandang ke Gong Badak untuk bertemu Terengganu juga pada 3 Mei.