Pra-Musim: Wrexham Malukan Manchester United
MakanBola
Manchester United

Manchester United membuka kempen pramusim 2026/27 dengan langkah kiri apabila tewas di tangan kelab Liga Kejohanan, Wrexham.

Aksi persahabatan di Helsinki merupakan sebahagian daripada persiapan kedua-dua pasukan untuk musim 2026/27. Aksi ini juga merupakan aksi pramusim pertama Michael Carrick sebagai pengurus tetap United.

Bekas arkitek Chelsea, Andrey Santos mengendalikan jentera tengah The Red Devils bersama Mason Mount dan Jack Fletcher. Bekas penyerang Ipswich Town, Nathan Broadhead mengetuai jentera serangan Wrexham.

Separuh masa pertama menyaksikan United cuba memburu gol awal menerusi kombinasi Bryan Mbeumo, Joshua Zirkzee dan Patrick Dorgu.

United hampir meraih gol pendahuluan pada minit ke-36. Hantaran bola sepakan sudut yang dibuat Mount terkena kepala pemain Wrexham, Sam Smith hampir menerjah gawang mereka tetapi terkena palang.

Smith kemudiannya meletakkan Wrexham di hadapan tiga minit selepas itu. Kesilapan Ayden Heaven dan Luke Shaw memudahkan bekas penyerang Reading itu menewaskan penjaga gol, Tom Heaton.

Gol Smith memastikan kelab yang dikenali menerusi program Welcome to Wrexham itu mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan membuat pertukaran besar bagi memberi minit permainan kepada pemain-pemain simpanan.

Carrick menggunakan peluang itu dengan memberi peluang kepada ramai pemain muda. Antaranya Radek Vitek, Harry Amass, Ethan Wheatley, Tyler Fletcher dan Dan Gore.

Meskipun menurunkan ramai ubi muda, itu tidak menghalang United daripada berusaha mendapatkan jaringan penyamaan. Wheatley hampir melakukannya pada minit ke-72 tetapi hantaran Gore berjaya disekat penjaga gol Wrexham, Danny Ward.

United terus meningkatkan tekanan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas ini, United mengalihkan fokus kepada aksi pemanas badan kedua menentang Rosenborg pada 25 Julai.

United dijangka tidak terlalu bimbang dengan keputusan ini. Ini kerana ramai bintang utama termasuk kapten, Bruno Fernandes masih bercuti selepas beraksi dalam Piala Dunia 2026.

Justeru, kemampuan sebenar United hanya akan diketahui apabila semua bintang utama pasukan kembali beraksi. Selain Santos, kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu turut merekrut Karl Darlow dan kapten Belgium, Youri Tielemans.