Chung Mong-gyu meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).
The Korea Times melaporkan figura berusia 64 tahun itu telah menyerahkan surat peletakan jawatan formal selepas mempengarusikan mesyuarat KFA di Cheonan.
Meskipun Mong-gyu memaklumkan akan berundur pada 20 Julai ini, beliau memilih mempercepatkan keputusan meletak jawatan. Ini disebabkan kegagalan Pahlawan Taeguk melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Mong-gyu menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk penyokong yang bersama beliau sepanjang 13 tahun menerajui KFA.
“Tatkala memikul tanggungjawab besar sebagai ketua KFA, saya telah mengejar pembangunan dan kejayaan buat bola sepak Korea.
“Terdapat detik-detik di mana saya berjaya mencapai jangkaan dan detik-detik di mana saya membuatkan anda kecewa. Kejayaan Korea Selatan diraih dengan penghargaan kepada pemain-pemain kita dan penyokong dan segala kesilapan ialah tanggungjawab saya,” katanya.
Mong-gyu dikritik ramai pihak susulan proses pelantikan bekas jurulatih sebelumnya, Hong Myung-bo yang didakwa tidak telus.
KFA juga berdepan kritikan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Sukan Korea Selatan selepas kementerian itu mendakwa badan induk itu melakukan banyak salah laku.
KFA dijangka berdepan satu lagi audit susulan kegagalan Pahlawan Taeguk melepasi peringkat kumpulan. Selain Mong-gyu, bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo juga akan meninggalkan KFA selaku naib presiden badan induk itu.
Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tugas barunya bersama Kanchanaburi Power. Hang-seo dilaporkan mahu berbuat demikian selepas menyelesaikan tugas sebagai ketua delegasi Korea Selatan ke Piala Dunia.