Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai jurulatih skuad senior pasukan gergasi Asia itu.
Peletakan jawatan beliau diumumkan dalam satu sidang media pascakejohanan yang diadakan di Guadalajara, Mexico. Myung-bo turut membacakan sendiri kenyataan peletakan jawatan beliau kepada media.
“Pertama sekali, saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua orang yang mencintai bola sepak Korea dan sentiasa menyokong pasukan kebangsaan. Saya berhasrat untuk meletak jawatan daripada jawatan saya sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Korea Selatan hari ini.
“Mengambil peranan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan bukanlah satu keputusan yang mudah bagi saya. Walau bagaimanapun, sejak saya memutuskan untuk menerima jawatan itu, saya tidak mempertimbangkan sebarang sebab lain.
“Saya percaya bahawa memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya hingga ke akhirnya satu-satunya perkara yang saya perlu lakukan,” katanya seperti dilaporkan Sports Chosun.
Myung-bo mengambil langkah tersebut selepas Korea Selatan terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia 2026. Walaupun meraih satu kemenangan dalam Kumpulan A, itu tidak cukup untuk menjamin kemaraan Pahlawan Taeguk ke pusingan seterusnya.
Prestasi buruk Korea Selatan dalam kejohanan berprestij itu turut menyebabkan satu petisyen difailkan baru-baru ini. Petisyen tersebut mengandungi desakan agar Myung-bo berundur sebagai ketua jurulatih pasukan itu.
Myung-bo menjadi jurulatih ketiga yang berundur susulan prestasi buruk dalam Piala Dunia 2026. Beliau mengikut jejak Sabri Lamouchi (Tunisia) dan Steve Clarke (Scotland).