Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub menolak usaha Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino untuk sepentas dengan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Israel (IFA), Basim Sheikh Suliman.
Portal Drop Site News melaporkan Rajoub mengambil tindakan sedemikian tidak lama selepas berucap dalam Kongres FIFA Ke-76 di Vancouver, Kanada.
Sebelum itu, beliau menggesa FIFA agar mengenakan tindakan ke atas Israel berhubung kelab-kelab yang berpangkalan di kawasan-kawasan petempatan haram di Tebing Barat.
Ini kerana pada hemat Rajoub, kelab-kelab ini tidak sepatutnya bertanding dalam mana-mana liga yang dikendalikan oleh IFA.
Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh FIFA, ini akan membawa kepada duluan di mana hak negara ahli (MA) FIFA boleh saja dicabuli sesuka hati oleh negara lain.
Selepas beliau selesai berucap, Infantino cuba mendorong Rajoub untuk berjabat tangan dengan Suliman dan bergambar bersama. Walau bagaimanapun, Presiden PFA itu menolak usaha Presiden FIFA.
Infantino cuba memujuk Rajoub untuk mempertimbangkan semula pendiriannya dengan insiden itu berlarutan selama hampir dua minit.
Pada akhirnya, Presiden PFA itu tetap tegas dengan pendiriannya dan berjalan meninggalkan pentas. Video insiden itu turut dikongsikan PFA di semua platform rasmi mereka.
Rajoub kemudiannya menambah, “Jika pihak satu lagi mewakili penjenayah seperti Bibi (nama gelaran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) dan bercakap bagi pihak Bibi macam Bibi itu Mother Teresa, macam mana saya nak berjabat tangan atau bergambar dengan orang sebegitu?”
Pada Mac lalu, FIFA enggan mengenakan tindakan kepada Israel berhubung kelab-kelab yang beroperasi di kawasan petempatan haram di Tebing Barat.
FIFA memberi alasan ini berhubung dengan status perundangan Tebing Barat yang belum lagi diputuskan. Tindakan badan induk bola sepak antarabangsa itu dibidas ramai pihak termasuk aktivis dan wartawan antarabangsa.
PFA kini merujuk kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk memfailkan rayuan.