Presiden Kuching City Ulas Khabar Angin 3 Pemain JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Khabar angin melibatkan 3 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal sertai Kuching City dijelaskan oleh Presiden Kelab, YB Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Tular baru-baru ini ura-ura yang mengatakan beberapa pemain JDT seperti Nazmi Faiz Mansor, Park Jun-heong, Safawi Rasid serta bekas penyerang, Heberty Fernandes bakal sertai pasukan naib juara Liga Super musim lalu iaitu Kuching City.

Khabar angin itu timbul ketika Kuching City bakal menjadi wakil Malaysia di AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan dengan kehadiran pemain-pemain terbabit dilihat mampu menguatkan lagi pasukan di pentas Asia.

Walau bagaimanapun, spekulasi dalam kalangan peminat itu dijawab oleh Presiden Kuching City, YB Datuk Fazzrudin Abdul Rahman yang terkejut apabila The Cats dikaitkan dengan tonggak-tonggak penting pasukan JDT itu.

“Saya juga terkejut dengan nama-nama yang dikaitkan (ke Kuching City),” jawab YB Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menurut laporan Stadium Astro.

Beliau menambah, perancangan pasukan secara teliti membabitkan senarai nama pemain baharu akan mula dibincangkan sebaik ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak kembali dari bercuti untuk persiapan awal menjelang musim yang penuh padat nanti.

“Pada minggu hadapan setelah jurulatih, Aidil Sharin Sahak, pulang daripada bercuti, kami akan memulakan langkah persiapan musim hadapan.

“Sudah tentu, kami akan menandatangani pemain baru memandangkan jadual perlawanan yang padat.

“Siapakah pemain-pemain itu? Kami akan berbincang dengan Aidil Sharin dahulu.”

Kuching City berjaya menamatkan musim lalu dengan penuh gilang-gemilang apabila muncul naib juara Liga Super dan Piala Malaysia selain turut bergelar semi-finalis Piala FA serta bakal mewakili Malaysia di ACL Two akan datang.