Pemain sayap Bahrain, Prince Aggreh tidak lagi bersama pasukan PDRM FC untuk kempen Liga Super musim 2024/25.
Aggreh sebelum ini dibawa masuk sebagai sebahagian daripada tenaga import baru The Cops untuk menghadapi kempen musim 2024/25.
Selain beliau, PDRM turut membawa masuk Ifedayo Olusegun, Faith Obilor, Chidi Osuchukwu dan Aremu Timothy. The Cops turut mengekal tonggak import musim lepas iaitu Kyaw Min Oo, Fadi Awad dan Bruno Suzuki.
Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi mendedahkan Aggreh tidak lagi bersama PDRM. Ini selepas pemain sayap berusia 27 itu telah mencapai persetujuan bersama pihak pengurusan kelab untuk penamatan kontrak.
Bekas pemain sayap Al-Muharraq itu dijangka kembali beraksi dalam saingan bola sepak Timur Tengah apabila dilaporkan menerima tawaran kelab Kuwait, Khaitan SC.
“Tonggak import PDRM FC, Prince Aggreh ucap selamat tinggal kepada The Cops selepas capai persetujuan bersama dengan pihak pengurusan kelab. Prince difahamkan menerima tawaran daripada Khaitan SC yang beraksi di Liga Premier Kuwait,” katanya di X.
Aggreh mengikut jejak dua tonggak import, Ramon Machado dan Kuvondik Ruziev yang mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Beliau telah merekodkan lima penampilan bersama The Cops dan merekodkan satu bantuan gol untuk kelab itu.