Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang menghadapi cabaran Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pra-musim 2025/26.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Ini selepas baginda ditanya tentang prospek JDT berdepan kelab-kelab besar Eropah dalam aksi pra-musim 2025/26.
Tunku Ismail tidak menolak aksi pra-musim antara kedua-dua pasukan itu bakal diadakan sama ada pada tahun 2025 atau 2026.
“PSG 100%. (Aksi pra-musim JDT dan PSG sama ada) tahun ini atau tahun depan,” katanya di X.
Tunku Ismail turut memaklumkan JDT sedang mengusahakan beberapa perjanjian dengan kelab gergasi Perancis itu yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang.
“Banyak lagi perjanjian jangka pendek dan jangka panjang antara JDT dan PSG akan menyusul tahun ni. Saya dan Tim Cahill akan ke Paris untuk muktamadkan perjanjian,” ujarnya.
Sebelum ini, Tunku Ismail mendedahkan perancangan Harimau Selatan untuk mengadakan kempen pra-musim di Arab Saudi. Ini sebagai persiapan menghadapi musim 2025/26.