Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) telah menyediakan papan skor kedua di Stadium Sultan Muhammad IV bagi pasukan Kelantan Darul Naim mengharungi saingan Liga Super 2024/2025.
Skuad Kijang Emas kekal menjadikan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai gelanggang rasmi sejak pasukan tersebut beraksi dalam saingan Liga Super bermula musim lalu.
Menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan iaitu YB Zamakhshari Muhammad, penyediaan papan skor kedua yang terletak di bahagian astaka bertujuan untuk menggantikan papan skor utama yang rosak sehingga kerja baik pulih selesai.
Beliau turut berkongsikan status baik pulih papan skor utama yang masih lagi dalam rundingan serta hasil pertemuan dengan syarikat pembekal papan skor utama yang terdahulu tentang isu kerosakan tersebut.
Menurutnya, masalah teknikal papan skor utama bakal melibatkan kos yang agak besar dan tiada jaminan akan berfungsi dengan baik namun kerajaan negeri Kelantan komited untuk membaiki papan skor utama.
YB Zamakhshari Muhammad bersama Presiden Kelantan Darul Naim FC, YB Rozi Muhammad serta pihak PSK turut turun padang meninjau persiapan Stadium Sultan Muhammad IV menjelang aksi pertama Liga Super antara Kelantan DN bertemu Sabah.
Kelantan yang kini dibimbing oleh Park Jaehong telah kalah tipis kepada Sri Pahang hasil jaringan Manuel Hidalgo dalam aksi pertama Liga Super 2024/2025.
Kini pasukan tersebut bersiap sedia untuk meraih kemenangan pertama musim ini dalam aksi menentang Sabah di gelanggang sendiri pada 17 Mei ini.