Situasi di Asia Barat berpotensi mendorong Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menganjurkan pusingan akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Malaysia.
Kemungkinan itu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Beliau memaklumkan AFC menimbang kemungkinan menganjurkan pusingan akhir kejohanan itu di Jeddah, Arab Saudi atau Malaysia.
Ini kerana situasi tegang di Asia Barat berpotensi menyebabkan Stadium Raja Abdullah dan Stadium Putera Abdullah Al Faisal tidak boleh menjadi tuan rumah perlawanan pusingan akhir ACLE.
“Jeddah atau Malaysia, difahamkan AFC ada venue alternatif andai pusingan akhir ACL Elite tidak dapat diadakan di King Abdullah Stadium dan Prince Abdullah Al Faisal Stadium dari 16 hingga 25 April ini susulan ketegangan di Asia Barat, tatkala undian akan berlangsung 25 Mac ini,” katanya di X.
AFC dijangka terus memantau situasi di Asia Barat. Selain mengambil kira faktor undian pada 25 Mac, AFC juga berharap dapat menganjurkan aksi pusingan 16 buat pasukan dari belah Barat.
Situasi tegang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran menyebabkan semua aktiviti sukan di rantau itu ditangguhkan atas faktor keselamatan. Ini termasuk perlawanan pusingan 16 ACLE buat pasukan dari belah Barat.
Seandainya Malaysia dipilih sebagai lokasi alternatif oleh AFC, ia berpotensi memberi suntikan semangat kepada wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT antara empat pasukan dari belah Timur yang mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir. Selain JDT, Machida Zelvia, Vissel Kobe dan Buriram United turut mengesahkan kemaraan.