Putera Rigobert Song Bakal Ke Melaka?
MakanBola
Airbus UK FC

Anak legenda Cameroon, Rigobert Song dilaporkan bakal menyarung jersi kelab Melaka FC.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Ronny Song bakal menyertai pasukan yang dibimbing E. Elavarasan untuk kempen musim 2026/27.

“Sehari sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia berakhir, difahamkan Melaka akan umumkan ketibaan anak bekas kapten Cameroon, Rigobert Song iaitu Ronny Song yang juga sepupu kepada bekas pemain tengah Barcelona, Alex Song,” katanya di X.

Sekiranya khabar ini menjadi kenyataan, penyerang berusia 30 tahun itu akan menawarkan pilihan tambahan buat Elavarasan di bahagian serangan.

Song pernah beraksi untuk skuad remaja Everton, AC Boulogne Billancourt, Morecambe, Airbus UK, SD Huesca B, Atletico Monzon dan kelab Malta, Senglea Athletic.

Beliau berpotensi bersaing dengan Kpah Sherman, Abdul Azim Rahim, Abdel Kader Coulibaly, Jafri Firdaus Chew dan bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli untuk slot peledak.

Melaka dilihat mempamerkan kekuatan berbeza dengan merekrut ramai pemain berpengalaman seperti Khairul Fahmi Che Mat, Azwan Aripin, Sherman, Coulibaly dan Hasbullah Abu Bakar.

Melaka segar daripada kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC baru-baru ini. Kini, fokus anak buah Elavarasan dialihkan kepada aksi pertama pusingan 16 Piala FA menentang Penang FC pada Rabu.