Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat sudah mempunyai destinasi pilihan selepas meninggalkan Sabah FC.
Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan penjaga gol berusia 37 tahun itu akan berkelana ke Melaka FC untuk musim 2026/27.
“Nampaknya Khairul Fahmi Che Mat sudah memuktamadkan destinasi beliau yang seterusnya. Beliau akan kembali ke Melaka di bawah bimbingan E. Elavarasan,” katanya di X.
Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, Khairul Fahmi bakal bekerjasama dengan jurulatih Melaka, E. Elavarasan buat kali kedua. Sebelum ini, kedua-duanya pernah bekerjasama ketika bersama Melaka United pada 2018.
Khairul Fahmi dijangka bukan satu-satunya pemain yang akan menyertai Melaka untuk musim 2026/27. Ini kerana pengurusan pasukan itu dilaporkan mengintai khidmat beberapa pemain.
Avineshwaran melaporkan Melaka berminat mendapatkan pemain tengah Negeri Sembilan FC, Zahril Azri Zabri dan bekas kapten Perak FA, Kamal Arif Azrai Shakimar.
Selain itu, pengurusan pasukan itu turut menilai dua tonggak import. Melaka kini menilai pemain sayap Brazil, Christian de Souza Andre dan penyerang Congo, Prince Ibara sebagai tonggak berpotensi untuk kempen musim ini.
Pengurusan pasukan itu juga sibuk mengharungi program pramusim. Anak buah Elavarasan mengharungi aksi persahabatan dengan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Kota Bharu.