Juara bertahan Piala Asia, Qatar berazam mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi empat tahun sebelumnya.
Perkara ini dinyatakan oleh pemain pertahanan The Maroons, Bassam Al-Rawi bila ditemubual Al-Kass TV Sports petang tadi.
Bassam mengakui kejayaan menjulang Piala Asia pada 2019 memberi makna yang besar kepada seluruh penduduk Qatar.
Dengan The Maroons bakal mendapat sokongan penyokong di tempat sendiri, kelebihan itu mahu dimanfaatkan mereka dengan sebaik mungkin dalam Kumpulan A.
“Pada tahun 2019, semua orang bersedia untuk kejohanan itu dan kami berjaya melakukannya dengan cantik, sekaligus menggembirakan kami dan ramai orang. Malah, orang yang menunggu kami juga gembira.
“Insya Allah, tahun ini kita akan cuba ulanginya. Insya Allah, dalam kejohanan tahun ini, fokus kita terarah kepada perlawanan pertama. Insya Allah, kita akan tunjukkan selangkah demi selangkah,” katanya.
Qatar tampil dalam Piala Asia dengan rekod tiga kemenangan daripada lima perlawanan sebelum ini. Sebelum itu, mereka tewas 2-1 kepada Jordan dalam aksi terakhir pemanas badan pra-kejohanan.
The Maroons turut mengalami perubahan jurulatih dengan Tintin Marquez Lopez dibawa masuk menggantikan bekas jurulatih Real Madrid, Carlos Queiroz.
Keputusan itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) selepas kurang berpuas hati dengan beberapa aspek kejurulatihan yang diterapkan jurulatih Portugal itu.
Qatar membuka tirai Piala Asia 2023 dengan menentang Lubnan dalam aksi pertama Kumpulan A pada 12 Januari ini.