Bekas penyerang berbisa Sabah FC, Ramon Machado tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menggegarkan arena bola sepak di Azerbaijan.
Ramon yang kini beraksi untuk Araz Nakhchivan di Azerbaijan hanya memerlukan dua perlawanan untuk meledak jaringan buat kelab barunya itu.
Pada aksi Liga Premier Azerbaijan di antara Araz Nakhchivan dan Shamakhi FK, Ramon menjaringkan gol tunggal untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Araz Nakhchivan dalam saingan liga musim ini.
Jaringan Ramon itu terhasil pada minit ke-59 selepas beliau menyambar hantaran lolos lambung dari rakan sepasukan, Bakhtiyar Hasanalizada.
Ini merupakan perlawanan kedua buat Ramon bersama Araz Nakhchivan. Perlawanan pertama menyaksikan Araz Nakhchivan tewas besar 1-4 kepada juara bertahan Liga Azerbaijan, Qarabag FK.
Untuk rekod, Ramon telah mebuktikan bahawa beliau penyerang berbisa dalam saingan Liga Super Malaysia dengan sudah meledak 18 jaringan daripada keseluruhan 27 perlawanan buat Sabah FC dari tahun 2023 sehingga 2024.
Namun jodohnya bersama Sabah berakhir pada awal bulan Julai tahun ini dan beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Azerbaijan bersama kelab Araz Nakhchivan.
Kontrak Ramon Machado bersama Sabah yang sepatutnya berakhir pada 30 April 2025 tamat berkuat kuasa bermula 7 Julai 2024 atas dasar persetujuan bersama.