Biarpun baru menyertai Sabah FC dalam tetingkap perpindahan kedua Julai lalu, Ramon Machado mampu membantu mereka melakar kecemerlangan dalam Piala AFC musim ini.
Ini kerana Machado merupakan peledak berbisa yang dicari-cari pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee untuk menembusi pertahanan pihak lawan.
Dalam sembilan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk Piala Malaysia, penyerang Brazil itu sudah meledakkan lapan gol berdasarkan statistik Transfermarkt.
Ini menjadikan Machado sebagai penjaring terbanyak skuad Sabah mengatasi Stuart Wilkin dan Park Tae-su (tujuh gol), Saddil Ramdani dan Darren Lok (enam gol) serta Daniel Ting (lima gol).
Ini amat melegakan Kim Swee kerana sebelum ini Sabah tidak mempunyai penyerang tengah sokongan kepada Darren. Dan apabila penyerang Harimau Malaya itu cedera, skuad Badak bergelut mencari pengganti sesuai mengisi posisi berkenaan.
Justeru, ketajaman taji Machado pastinya ditagih bukan saja dalam Liga M tetapi juga dalam Piala AFC. Selain Sabah dalam Kumpulan H, kumpulan tersebut turut mengandungi PSM Makassar, Hai Phong dan Hougang United.
PSM Makassar dan Hai Phong dijangka menjadi pencabar utama skuad Badak dalam kumpulan berkenaan. Begitupun, sekiranya Sabah kekal kebal di bahagian pertahanan dan Machado sebagai tonggak serangan, tidak mustahil mereka boleh mengikut jejak KL City FC pada musim lepas.
The City Boys berjaya mara sehingga final Piala AFC 2022 sebelum dikecewakan kelab Kuwait, Al-Seeb dalam aksi final.
Sabah bakal memulakan kempen Piala AFC mereka dengan menentang Hougang United di Stadium Likas pada 21 September ini.