Ranking FIFA: Jumlah Mata & Kedudukan Malaysia Jika Atasi Vietnam
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia berpeluang memungut mata ranking lumayan selain meningkatkan kedudukan dalam carta FIFA sekiranya berjaya menewaskan Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Pertembungan antara Vietnam vs Malaysia pada Selasa tetap menjadi tumpuan ramai meskipun harapan bagi menyaksikan Harimau Malaya mara ke Piala Asia 2027 sudah pun terkubur.

Sungguhpun begitu, aksi ini dilihat masih penting buat skuad kendalian Peter Cklamovski dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan ranking terkini selepas jatuh merudum baru-baru ini.

Sebagai rekod, Malaysia kini di tangga ke-135 dunia setelah dua kemenangan dalam aksi Kelayakan Piala Asia tahun lalu dibatalkan sekali gus memberi kesan terhadap kutipan mata skuad negara.

Peluang kembali terbuka buat Malaysia untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA apabila bakal menentang Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.

Jika skuad negara berhasil menewaskan Vietnam, Malaysia bakal memperoleh tambahan +15.28 mata dan mengumpul keseluruhan 1114.21 mata, selain melonjak 3 anak tangga ke kedudukan 132 dunia.

Keputusan seri mungkin tampak selamat, namun tambahan +2.78 mata itu tidak cukup untuk mengubah kedudukan, malah membuka ruang buat pencabar di belakang memintas Malaysia.

Kekalahan kepada Vietnam bukan sekadar kehilangan mata, namun berpotensi menjadi mimpi buruk selepas -9.72 mata ditolak dan ranking Malaysia terancam dipintas oleh Filipina dan Turkmenistan.

Misi besar kini digalas di bahu skuad Harimau Malaya untuk mengembalikan maruah negara selain memperbaiki ranking, selepas Malaysia menjadi tumpuan susulan isu luar padang sebelum ini.

Claim Money Packet TnG