Ranking Masa-Nyata FIFA: Malaysia Naik Dalam Diam
MakanBola
Malaysia NT

Kedudukan Malaysia dalam carta ranking masa-nyata FIFA naik dalam diam meskipun skuad Harimau Malaya tidak turun beraksi pada jendela antarabangsa bulan Jun ini.

Tahun 2026 menyaksikan pasukan Harimau Malaya hanya beraksi sekali sahaja pada Mac lalu ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam yang memihak skuad Pahlawan Bintang Emas itu.

Kekalahan di bumi Vietnam itu antara penyumbang besar kepada kejatuhan ranking negara ketika kemas kini pada April lalu selain hukuman oleh AFC ke atas Malaysia gara-gara menurunkan pemain tidak sah dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.

Penurunan drastik sebanyak 17 anak tangga meletakkan Malaysia ketika itu jatuh ke ranking ke-138 dunia pada bulan April setelah mata yang dikumpul terpaksa ditolak dan tiada sebarang tambahan mata yang dapat dikutip oleh skuad negara.

Walau bagaimanapun, ranking masa-nyata FIFA ketika ini menyaksikan kedudukan Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 137 dunia, dibantu oleh kejatuhan ranking India yang tewas 3 perlawanan berturut-turut sebelum ini.

India tewas kepada Jamaica dan Zimbabwe pada bulan Mei sebelum kalah di tangan Tajikistan 3-1 pada minggu lalu sekali gus membuatkan ranking semasa The Blue Tigers ketika ini turun 3 anak tangga dari kedudukan asal.

Ranking Masa Nyata FIFA Jun Ranking Masa-Nyata FIFA: Malaysia Naik Dalam Diam
Ranking Masa-Nyata FIFA (8 Jun 2026)

Dengan ketiadaan aksi persahabatan pada bulan Jun ini, ranking Harimau Malaya kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan perlawanan negara lain sama ada bakal naik, turun atau pun kekal disebabkan tiada sebarang tambahan mata dapat dikutip.

Perlawanan seterusnya menanti skuad negara adalah pada penghujung Julai nanti dalam kejohanan ASEAN Hyundai Cup dengan Malaysia bakal turun dalam aksi pertama kumpulan B bertemu Myanmar pada 29 Julai di tempat lawan.