Malaysia terus menapak tinggi dalam kedudukan ranking masa-nyata FIFA selepas menundukkan Laos.
Skuad kendalian Pau Marti turun dengan kesebelasan berbeza namun masih mampu mengatasi Laos dalam satu aksi persahabatan Tier 1 FIFA di Thailand.
Harimau Malaya kembali mengutip mata selepas tewas 0-4 di tangan pasukan ke-95 dunia, New Zealand yang menyaksikan skuad negara turun satu tangga.
Kemenangan ke atas pasukan ke-187 dunia itu membolehkan Malaysia meraih tambahan +2.67 secara jangkaan untuk memungut 1116.59 mata secara keseluruhan berdasarkan kemas kini masa-nyata FIFA.
Tambahan mata ini membolehkan Harimau Malaya melonjak dua tangga ke kedudukan 131 dunia dan memintas Niger (132) dan juga Nicaragua (133).
Malaysia juga ketika ini hanya dipisahkan satu tangga dengan negara jiran, Indonesia yang menghuni kedudukan 130 dunia dan bakal bertemu Jepun pada 15 November.
Ujian berikutnya buat skuad kebangsaan adalah menentang pasukan ke-125 dunia, India pada 18 November di Hyderabad.