Selangor meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan semalam dengan Rauf Salifu menyumbat dua gol. Dan bagi jurulatih Merah Kuning, Tan Cheng Hoe, beliau percaya penyerang Ghana itu mampu memberi impak besar kepada kempen Selangor dalam Liga Super musim ini.
Selepas tampil sebagai pemain gantian menggantikan Ayron Del Valle, Salifu menyumbat dua gol dalam 10 minit iaitu pada minit ke-80 dan ke-90. Tanpa dua gol itu, Gergasi Merah tampak berpeluh menentang Kelantan yang kembali bersemangat di bawah bimbingan jurulatih baru, Frank Bernhardt.
“Iya, kalau kita lihat Rauf (Salifu) menunjukkan kerja keras dalam latihan dan bermain dalam pertandingan bawah 23 tahun. Di situlah, kita nampak kesungguhan beliau.
“Dan itu juga yang kita nak kan untuk pemain-pemain atau penyerang yang digantikan menjaringkan gol dan memberi keyakinan kepada kita untuk perlawanan akan datang,” katanya kepada Astro Arena.
Dengan Salifu kini menyumbat dua gol, ia sudah pasti mengurangkan beban menjaringkan gol yang digalas Ayron Del Valle dan penyerang kebangsaan, Faisal Halim. Tetapi pada masa sama, ia juga ingatan kepada penyerang Colombia itu bahawa bekas penyerang Sporting Kansas City itu mampu mencabar posisinya sebagai penyerang utama pasukan.