Aksi pertama RCTI Premium Sports menyaksikan Persija Jakarta layak ke final kejohanan selepas menewaskan PSIS Semarang hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) itu bukan saja perlawanan perpisahan buat dua tonggak veteran Macan Kemayoran, Maman Abdurahman dan Tony Sucipto.
Malah, perlawanan ini digunakan Laskar Mahesa Jenar untuk menguji keserasian tiga tonggak import yang menjalani sesi percubaan ketika ini. Tiga pemain import tersebut ialah Yevhen Bokashvili, Roger Ruxi Bonet dan Deri Corfe.
Babak pertama menyaksikan Persija berusaha memberi tekanan ke atas Laskar Mahesa Jenar untuk mendapatkan kelebihan gol awal.
Sokongan padu penyokong Macan Kemayoran membuahkan hasil apabila bek tengah, Akbar Arjunshah menanduk bola melepasi penjaga gol PSIS, Rizky Darmawan pada minit ke-23.
Tersentak, Laskar Mahesa Jenar berusaha memberi tekanan ke atas gawang Persija menerusi Corfe, Bokashvili dan Riyan Adrianshah tetapi gagal.
Sebaliknya, Macan Kemayoran hampir menggandakan kelebihan mereka sebelum tamat separuh masa pertama tetapi percubaan mereka tidak mengenai sasaran. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Persija terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol kedua perlawanan.
Meskipun turun tanpa jurulatih mereka, Thomas Doll, pelan taktikal yang diterapkan pembantu jurulatih Persija, Ferdiansyah menyukarkan PSIS memburu gol penyamaan.
Kelebihan 1-0 terus dipertahankan Persija sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini menyaksikan Macan Kemayoran bakal berentap dengan pasukan gergasi Malaysia, Selangor FC untuk aksi final RCTI Premium Sports.
Selangor berjaya layak ke final selepas mengenepikan cabaran kelab Liga Super, Sabah FC dalam satu lagi aksi yang berlangsung pada petang tadi.
Aksi final bakal berlangsung pada 2 Jun ini. Sementara PSIS dan Sabah pula bakal berentap untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.