Fenomena Kylian Mbappe sememangnya luar biasa untuk membantu Real Madrid menjana pendapatan bersih yang lumayan kurang dari 24 jam.
Mbappe melengkapkan perpindahan dari Paris St Germain ke Real Madrid pada awal Jun lalu secara percuma setelah hampir 6 tahun menyarung jersi kelab gergasi Perancis itu sejak musim 2018/2019.
Keputusan Real Madrid untuk menandatangani Mbappe ternyata membuahkan hasil yang positif meskipun pemain berusia 25 tahun itu masih belum turun beraksi bersama The Galacticos.
Hal ini kerana menurut laporan Madrid Zone, jualan jersi Mbappe di Real Madrid telah mencecah sekitar RM4 juta secara atas talian walaupun baru memulakan penjualan kit tersebut pada Khamis.
“Real Madrid telah menjual jersi Kylian Mbappé dengan keuntungan €800,000 (RM4,071,565) secara atas talian. Mereka baru sahaja memulakan penjualan semalam,” lapor Madrid Zone di laman X.
Sambutan hangat dari para peminat Real Madrid ini secara tidak langsung menyebabkan urusan logistik oleh pihak kelab seperti penghantaran jersi mengalami kelewatan dari jangkaan tarikh sebenar.
Mbappe kini baru selesai mengharungi kempen Euro 2024 yang menyaksikan Perancis gagal meneruskan kemaraan ke final setelah tewas 1-2 di tangan Sepanyol hasil jaringan pemain muda Barcelona, Lamine Yamal dan Dani Olmo.
Bekas pemain AS Monaco itu dijangka bakal diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi sebelum turun ke sesi latihan pertama sebagai persiapan untuk menghadapi UEFA Super Cup menentang Atalanta pada 15 Ogos nanti