Advertisement
Rebah Ketika Beraksi, Pemain China Disahkan Meninggal Dunia
UltraSukan
UltraSukan
Badminton Asia

Arena badminton antarabangsa berduka hari ini apabila jaguh badminton muda China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah dalam aksi Asian Junior Badminton Mixed Team Championships di Yogyakarta, Indonesia.

Insiden ini berlaku pada petang 30 Jun lalu dalam aksi ketiga antara China dan Jepun yang berlangsung di GOR Among Raga.

Zhi Jie yang turun menentang perseorangan Jepun, Kazuma Kawano tiba-tiba rebah di atas gelanggang sebelum mengalami sawan. Insiden itu menyebabkan pasukan perubatan masuk memberi bantuan kepadanya.

Pada ketika itu, Zhi Jie dan Kawano terikat pada kedudukan 11-11 dalam aksi set pertama. Pemain muda China itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Meskipun menerima rawatan intensif di hospital, Zhi Jie meninggal dunia di hospital pada jam 11.20 malam waktu Indonesia (12.20 pagi waktu Malaysia).

Berita kematian juara Badminton Asia Bawah 17 Tahun (B-17) itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Badminton Asia, Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dan penganjur kejohanan.

“Pemain perseorangan China, Zhang Zhijie rebah di atas gelanggang semasa perlawanan petang (30 Jun). Dia dibawa ke hospital dan meninggal dunia pada jam 11.20 waktu tempatan semalam,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Badminton Asia, PBSI dan penganjur kejohanan turut mengucapkan takziah kepada keluarga Zhi Jie dan Persatuan Badminton China (CBA).

Sebaik saja berita ini diumumkan, ramai orang terutama penggiat dunia badminton mengucapkan takziah kepada keluarga pemain muda China itu. Salah seorang daripadanya ialah jaguh perseorangan wanita India, P.V. Sindhu.

“Berita yang sangat memilukan muncul dari Asian Junior Badminton Mixed Team Championships berkenaan pemergian pemain badminton muda Zhang Zhi Jie.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Zhang dalam tempoh yang mencabar ini. Dunia telah kehilangan bakat yang luar biasa hari ini,” katanya di X.

Asian Junior Badminton Championships untuk acara berpasukan campuran diadakan dari 28 Jun hingga 2 Julai ini. Ini disusuli dengan kategori individu yang berlangsung dari 3 hingga 7 Julai ini.