Reputasi Arif Aiman Di Asia Naik Mendadak
MakanBola
Johor Southern Tigers

Reputasi bintang handalan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi naik mendadak di Asia.

Tonggak berusia 24 tahun itu kembali beraksi selepas hampir enam bulan berehat ekoran kecederaan dan menjaringkan gol kedua sekali gus mengesahkan kemenangan JDT pada pentas akhir Piala Malaysia 2026.

Arif muncul antara pemain tempatan paling cemerlang di Malaysia sejak tiga musim terakhir selain merupakan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, tiga kali berturut-turut.

Kemas kini kedudukan pemain sayap kanan terbaik di laman Transfermarkt menunjukkan bahawa pemain skuad kebangsaan Harimau Malaya berada pada kedudukan ke-27 di Asia dengan nilai pasaran mencecah 700,000 Euro (RM2.8 Juta).

Kedudukan ini membolehkan Arif untuk bersaing sengit bersama nama-nama besar di Asia seperti iaitu bintang Persepolis FC, Mohammad Omri dan juga tonggak bintang Oxford United FC, Jin-woo Jeon.

Kedudukan pemain sayap kanan terbaik di Asia menjadi milik Takefusa Kubo yang beraksi di Sepanyol bersama Real Sociedad disusuli oleh Ritsu Doan (E. Frankfurt).

Sebagai rekod, Arif Aiman menjadi satu-satunya pemain sayap Malaysia yang berada dalam kelompok 30 pemain sayap terbaik di Asia.

Arif berpeluang untuk tampil bersama pasukan kebangsaan dengan ASEAN Hyundai Cup 2026 dan juga FIFA ASEAN Cup 2026 menjadi dua kejohanan terdekat pasukan kebangsaan.