Usaha Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membangunkan pusat latihan baharu mereka berhampiran Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi sebutan media Sepanyol.
Portal AS melihat usaha terbaru JDT sebagai transformasi berterusan pasukan gergasi selatan tanah air itu agar setanding dengan kelab-kelab elit di peringkat global.
Ini juga dilihat seiring dengan hasrat DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk membangunkan sebuah kompleks latihan bersepadu sama seperti pusat latihan Real Madrid di Valdebebas.
Perkara ini pernah dizahirkan baginda menerusi satu ciapan pada tahun 2018. “Ini adalah pusat latihan Real Madrid. Ini projek saya yang seterusnya dan akan dibina di Johor untuk JDT bersebelahan stadium baharu,” katanya.
“Ia akan dilengkapi kemudahan hidroterapi, adaptasi perubahan iklim, gimnasium dan fasiliti latihan yang lain. Semua pasukan JDT akan berada di satu lokasi, dari skuad akademi hingga ke skuad senior.”
Kini, lapan tahun kemudian, projek tersebut direalisasikan menerusi majlis pecah tanah projek itu untuk kawasan seluas 39 ekar yang diadakan pada Mei lalu. Lebih menarik, AS melihat projek tersebut mengikut model Valdebebas Los Blancos.
Pembinaan pusat latihan baharu ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. Bila projek ini siap, pusat latihan baharu JDT akan menjadi antara fasiliti latihan bola sepak paling moden di rantau Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia melihat projek terbaru ini sebagai refleksi kepada cita-cita besar pasukan itu di pentas dunia.
“Pusat latihan baharu kami akan menjadi lebih daripada sekadar kemudahan bertaraf dunia. Ia akan menjadi rumah kepada generasi bakat akan datang, tempat impian dipupuk, nilai diterapkan dan juara dibentuk,” katanya.
Transformasi ini bukan saja memastikan fasiliti JDT sentiasa mengikut peredaran semasa. Malah, projek ini juga dilihat projek jangka panjang untuk memudahkan laluan pemain muda membarisi skuad utama Harimau Selatan pada masa hadapan.
Ini ditambah dengan usaha JDT mengembangkan rangkaian peninjau bakat terutama di Eropah dan Amerika Syarikat (US). Justeru, projek ini dilihat satu langkah tepat untuk membawa pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi.
Atas sebab itu, portal AS melihat usaha transformasi ini mampu membawa anak buah Xisco Munoz lebih ke hadapan untuk tahun-tahun mendatang.