Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memiliki pusat latihan baru bertaraf tinggi.
Ini selepas DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan Pusat Latihan Baharu Johor Darul Ta’zim FC (JDT).
Pusat latihan baharu ini akan dibina di kawasan seluas 39 ekar dan terletak berhadapan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pusat latihan ini bakal menjadi hab pembangunan bola sepak moden yang dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa.
Antara kemudahan yang bakal wujud ialah padang latihan berkualiti tinggi, pusat sains sukan, fasiliti pemulihan dan rehabilitasi, gimnasium, pusat analisis prestasi, penginapan pemain serta ruang pembangunan akar umbi dan skuad akademi.
Pusat latihan ini bakal menjadi tempat semua skuad Harimau Selatan berlatih dari peringkat akar umbi hingga skuad senior.
Projek ini turut mencerminkan visi dan komitmen berterusan Tunku Ismail dalam menjadikan JDT sebagai satu pasukan yang sentiasa di hadapan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Pembinaan pusat latihan baharu ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan akan menjadi antara fasiliti latihan bola sepak paling moden di rantau Asia.
Projek ini juga sejajar dengan usaha memperkasakan lagi pembangunan bakat muda tempatan dan meningkatkan piawaian infrastruktur sukan di negeri Johor.
Turut mengiringi keberangkatan baginda adalah DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor, YAM Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail, YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Dato’ Haji Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman, Pegawai Kewangan Negeri Johor.
Hadir sama Luis Garcia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards, Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Teknikal, Xisco Munoz, Ketua Jurulatih dan beberapa pemain senior dan akademi Harimau Selatan.