Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor meninggalkan respon terhadap perpindahan bintang dunia, Karim Benzema.
Ketegangan mula berlaku sejak beberapa minggu antara bekas pemenang Ballon d’Or dengan kelabnya, Al Ittihad yang tular di media sosial.
Semuanya bermula gara-gara difahamkan Benzema perlu menerima potongan gaji yang tinggi menerusi tawaran kontrak baharu oleh kelabnya itu.
Bekas bintang Real Madrid itu akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Al-Ittihad sebelum diumumkan oleh seteru Saudi Pro League, Al-Hilal.
Al-Hilal kini secara rasminya membawa masuk Benzema selepas kehilangan Marcos Leonardo yang difahamkan bakal berhijrah ke Sepanyol bersama Athletico Madrid.
Perpindahan Benzema ke Al-Hilal telah menarik perhatian DYAM Tunku Ismail yang meninggalkan komen pada hantaran kelab tersebut.
“Alhamdulillah, buat yang terbaik,” ujar Tunku Ismail.
Pemain berusia 38 tahun itu juga turut meninggalkan komen yang menunjukkan keterujaan untuk beraksi.
“Masa beraksi,” tambah Benzema pada ruangan komen sama.
Sebagai rekod, Benzema merekodkan lapan jaringan daripada 14 penampilan liga musim ini sebelum berhijrah ke kelab seteru.
Beliau berpeluang untuk membentuk gandingan bersama Darwin Nunez, Malcom dan juga Salem Al Dawsari.