Pengendali sementara TRW Kelantan, Rezal Zambery Yahya menafikan berlaku pergolakan di dalam pasukan sehingga mendorong kepada prestasi buruk ketika menentang Terengganu dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Kelantan tewas 0-5 kepada Terengganu dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, perlawanan pertama kendalian Rezal Zambery setelah pengurusan membuat keputusan merehatkan ketua jurulatih Choi Moon Sik beberapa jam sebelum perlawanan.
Kemudiannya tular dakwaan dibuat Myeongho Jeong iaitu ejen kepada Choi Moon Sik, bahawa kelab milik Norizam Tukiman itu tidak profesional dan dibelenggu masalah seperti tidak dibayar gaji, kebajikan pemain tidak dijaga dengan betul, selain pemilihan pemain yang bukannya dibuat oleh jurulatih.
Rezal Zambery bagaimanapun menyatakan ketika ini tiada sebarang masalah yang menganggu pemain dan kekalahan kepada Terengganu adalah kerana beza kualiti kedua-dua pasukan.
“Saya rasa dalam bolasepak kita kena fokus setiap masa, dan saya rasa tiada sebarang masalah menganggu pemain saya ketika ini,” ujar Rezal Zambery yang membawa Kelantan muncul naib juara Liga Premier 2022.
‘Sudah pastinya ini bukan permulaan yang baik buat saya, kita kalah dengan jaringan besar. Tapi ini satu cabaran, kita main di Liga Super kualitinya adalah berbeza. Lagipun memang menentang Terengganu sentiasa menjadi perlawanan yang sukar bagi kita.
“Apa yang penting kita kena belajar, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dengan segera. Kita kena lupakan kekalahan ini dan bangkit menjadi pasukan lebih baik pada perlawanan seterusnya,” kata Rezal Zambery lagi.
Dalam aksi tersebut, Terengganu meraih jaringan menerusi Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Hakimi Abdullah manakala Ivan Mamut menjaringkan dua gol.